PENGENALAN EKSA



MAMPU telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik pelaksanaan Amalan 5S yang kini dijenamakan semula kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Langkah ini selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi–agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai yang menjadi amalan seluruh warga agensi sektor awam.

Penjenamaan Semula 5S

EKSA, singkatan kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam telah diperkenalkan bagi penjenamaan semula 5S (Rujuk Surat Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bil 1 Tahun 2014: Ekosistem Kondusif Sektor Awam). Justeru dalam garispanduan ini, nama EKSA (5S) akan digunakan bagi menggantikan nama 5S.

Secara khususnya, penjenamaan semula ini dilaksanakan bertujuan untuk membolehkan agensi kerajaan:
  • Meningkatkan imej korporat;
  • Menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan Go Green;
  • Menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi selaras dengan tuntutan stakeholders;
  • Memperluaskan pelaksanaan di agensi-agensi Kerajaan; dan
  • Memastikan elemen pengauditan memenuhi keperluan kepelbagaian organisasi/agensi Kerajaan.          

Selain daripada itu, EKSA juga memperkenalkan model penilaian dan pengauditan baharu yang merangkumi Kriteria Generik dan Kriteria Khusus dengan turut mengambil kira kepelbagaian premis agensi Kerajaan mengikut jenis-jenis perkhidmatan yang diberikan. Pendekatan one-size-fits-all yang dipraktikkan sebelum ini didapati kurang memadai untuk memenuhi keperluan kepelbagaian agensi Kerajaan pada masa ini. Justeru, penilaian EKSA ini akan disesuaikan mengikut lokaliti agensi yang diaudit.

Kesimpulannya, EKSA yang diperkenalkan ini bukan bertujuan untuk menggantikan konsep 5S yang telah sedia ada diamalkan, sebaliknya menambah baik elemen 5S tersebut dengan menyokong kepada pewujudan persekitaran kerja yang kondusif.

No comments:

Post a Comment